Pada entri kali ini, saya ingin mencoretkan kisah tentang detik perkenalan dan pengalaman manis bersama sebuah institusi iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Menyesal. Ya, itulah perkataan sesuai saya gambarkan untuk diri sendiri. Saya akui sangat menyesal kerana tidak mengenali DBP dengan lebih awal lagi. Tetapi saya tahu masih tidak terlambat lagi. Alhamdulillah, saya bersyukur kerana masih diberi peluang dan kesempatan untuk mengenali DBP dengan mendalam lagi.
Tahun 2020 merupakan tahun di mana saya mula berjinak-jinak dalam meminati bidang penulisan. Hal ini kerana pada tahun itu saya telah diminta untuk membuat tugasan berkaitan sajak dan cerpen bagi subjek Penglahiran Bakat Kreatif yang diajarkan oleh Prof. Madya Dr. Kamariah Kamarudin. Pada tahun sebelum ini, saya pernah menulis sajak namun hanya sekadar suka-suka sahaja tanpa arah tujuan. Sejak mempelajari subjek tersebut, banyak pengetahuan baharu yang dapat saya ketahui.
Di dalam bilik kuliah, pensyarah saya banyak bercerita tentang karya-karya kreatif yang dihasilkan oleh sasterawan negara. Melalui karya kreatif ini saya mula mengenali apa itu DBP. DBP merupakan badan pembina dan perancang bahasa dan sastera. Selain itu, DBP juga sebagai penggerak aktiviti kebahasaan, kesusasteraan, dan penerbitan. Sejak daripada itu, saya mula mengikuti DBP di laman sosial seperti Facebook, Instagram, Telegram dan Youtube. Ini memudahkan saya untuk mengetahui perkembangan semasa, aktiviti yang diadakan, dan info daripada DBP.
Walaupun perkenalan saya dan DBP agak terlambat sedikit, namun saya masih dapat mencipta pengalaman manis bersamanya. Pada tanggal 10 Mei 2020, DBP telah mengadakan pertandingan kata-kata indah bersempena Hari Ibu. Bermula detik itu, saya ingin mencuba untuk menyertai mana-mana pertandingan yang diadakan oleh DBP. Alhamdulillah, tidak disangka saya telah terpilih sebagai pemenang. Selain itu, saya juga telah menyertai pertandingan ucapan Hari Guru paling kreatif. Alhamdulillah, sekali lagi saya dan 19 orang peserta lain telah terpilih sebagai pemenang. Itulah antara pengalaman manis saya bersama DBP.
Akhirulkalam, saya berharap agar semangat berkarya dalam diri ini terus kekal demi generasi akan datang. Di sini saya sertakan ucapan Hari Ibu dan Hari Guru yang telah saya cipta untuk tatapan semua.
• Kata-kata indah sempena Hari Ibu:
Ibu
Kasihmu terhadap anak-anak
Tidak pernah ada tamat tempoh
Dikala kami keresahan dan kesedihan
Kau memberikan bahumu untuk kami bersandar
Walaupun kau kepenatan namun kau masih mampu tersenyum tanpa sedikit pun mengeluh
Kau sanggup berlapar demi melihat kami kekenyangan
Kau sanggup menahan kantuk yang makin memberat demi melihat kami lena
Terima kasih ibu atas segala-galanya
Tak mampu untuk kami membalasnya
Hatta kami mempunyai selautan emas
Hanya doa sahaja yang mampu kami kirimkan untukmu
Semoga syurga menjadi tempatmu ibu
Oleh: Ilya Maskuri
• Ucapan Hari Guru
Ibu dan ayah
Merekalah guru yang pertama
Merekalah yang sabar mengajar
Merangkak, berjalan, dan berlari
Mereka juga mewarnai zaman ketika kami kecil
Saat kami menginjak ke alam persekolahan
Di sini kami bertemu dengan rakan-rakan
Di sini juga kami bertemu dengan insan hebat
Insan yang sanggup mengorbankan masanya
Demi melihat anak-anak didiknya berjaya
Serta menjadi harapan buat nusa
Insan itu
Mereka yang bernama guru
Mengajar kami menjadi insan berilmu
Mengeja, membaca, menulis, dan mengira
Agar suatu hari nanti
Menjadi nakhoda untuk memimpin negara
Ibu, ayah, dan guru
Sungguh tidak terhitung segala jasa-jasamu
Akan kami kenang bersama detik-detik yang berlalu
Akan kami jadikan setiap kata-katamu sebagai pedoman hidup
Akan kami teruskan sisa-sisa perjuanganmu
Oleh: Ilya Maskuri

Powerrrrrr. Nak join jugak weyhh. nanti bebila ada pertandingan, jangan lupa ajak akuu. Tetiba teringat memori menulis karangan waktu form 3 duluu, ahhahah
BalasPadamEh biasa-biasa je. Insya-Allah nanti kalau ada pertandingan yang akan datang aku ajak kau. Hahaha lawak la ingat balik.
BalasPadam