Saya dan DBP



Kenangan bersama hadiah daripada DBP 

     Pada entri kali ini, saya ingin mencoretkan kisah tentang detik perkenalan dan pengalaman manis bersama sebuah institusi iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). 

     Menyesal. Ya, itulah perkataan sesuai saya gambarkan untuk diri sendiri. Saya akui sangat menyesal kerana tidak mengenali DBP dengan lebih awal lagi. Tetapi saya tahu masih tidak terlambat lagi. Alhamdulillah, saya bersyukur kerana masih diberi peluang dan kesempatan untuk mengenali DBP dengan mendalam lagi.

     Tahun 2020 merupakan tahun di mana saya mula berjinak-jinak dalam meminati bidang penulisan. Hal ini kerana pada tahun itu saya telah diminta untuk membuat tugasan berkaitan sajak dan cerpen bagi subjek Penglahiran Bakat Kreatif yang diajarkan oleh Prof. Madya Dr. Kamariah Kamarudin. Pada tahun sebelum ini, saya pernah menulis sajak namun hanya sekadar suka-suka sahaja tanpa arah tujuan. Sejak mempelajari subjek tersebut, banyak pengetahuan baharu yang dapat saya ketahui. 

     Di dalam bilik kuliah, pensyarah saya banyak bercerita tentang karya-karya kreatif yang dihasilkan oleh sasterawan negara. Melalui karya kreatif ini saya mula mengenali apa itu DBP. DBP merupakan badan pembina dan perancang bahasa dan sastera. Selain itu, DBP juga sebagai penggerak aktiviti kebahasaan, kesusasteraan, dan penerbitan. Sejak daripada itu, saya mula mengikuti DBP di laman sosial seperti Facebook, Instagram, Telegram dan Youtube. Ini memudahkan saya untuk mengetahui perkembangan semasa, aktiviti yang diadakan, dan info daripada DBP.

     Walaupun perkenalan saya dan DBP agak terlambat sedikit, namun saya masih dapat mencipta pengalaman manis bersamanya. Pada tanggal 10 Mei 2020, DBP telah mengadakan pertandingan kata-kata indah bersempena Hari Ibu. Bermula detik itu, saya ingin mencuba untuk menyertai mana-mana pertandingan yang diadakan oleh DBP. Alhamdulillah, tidak disangka saya telah terpilih sebagai pemenang. Selain itu, saya juga telah menyertai pertandingan ucapan Hari Guru paling kreatif. Alhamdulillah, sekali lagi saya dan 19 orang peserta lain telah terpilih sebagai pemenang. Itulah antara pengalaman manis saya bersama DBP.

     Akhirulkalam, saya berharap agar semangat berkarya dalam diri ini terus kekal demi generasi akan datang. Di sini saya sertakan ucapan Hari Ibu dan Hari Guru yang telah saya cipta untuk tatapan semua. 

• Kata-kata indah sempena Hari Ibu:

Ibu
Kasihmu terhadap anak-anak
Tidak pernah ada tamat tempoh 
Dikala kami keresahan dan kesedihan
Kau memberikan bahumu untuk kami bersandar 
Walaupun kau kepenatan namun kau masih mampu tersenyum tanpa sedikit pun mengeluh 
Kau sanggup berlapar demi melihat kami kekenyangan
Kau sanggup menahan kantuk yang makin memberat demi melihat kami lena 
Terima kasih ibu atas segala-galanya 
Tak mampu untuk kami membalasnya 
Hatta kami mempunyai selautan emas
Hanya doa sahaja yang mampu kami kirimkan untukmu
Semoga syurga menjadi tempatmu ibu

Oleh: Ilya Maskuri

Ucapan Hari Guru

Ibu dan ayah
Merekalah guru yang pertama 
Merekalah yang sabar mengajar 
Merangkak, berjalan, dan berlari
Mereka juga mewarnai zaman ketika kami kecil

Saat kami menginjak ke alam persekolahan 
Di sini kami bertemu dengan rakan-rakan
Di sini juga kami bertemu dengan insan hebat 
Insan yang sanggup mengorbankan masanya 
Demi melihat anak-anak didiknya berjaya 
Serta menjadi harapan buat nusa

Insan itu
Mereka yang bernama guru
Mengajar kami menjadi insan berilmu
Mengeja, membaca, menulis, dan mengira 
Agar suatu hari nanti 
Menjadi nakhoda untuk memimpin negara

Ibu, ayah, dan guru
Sungguh tidak terhitung segala jasa-jasamu 
Akan kami kenang bersama detik-detik yang berlalu 
Akan kami jadikan setiap kata-katamu sebagai pedoman hidup 
Akan kami teruskan sisa-sisa perjuanganmu

Oleh: Ilya Maskuri





Ulasan

  1. Powerrrrrr. Nak join jugak weyhh. nanti bebila ada pertandingan, jangan lupa ajak akuu. Tetiba teringat memori menulis karangan waktu form 3 duluu, ahhahah

    BalasPadam
  2. Eh biasa-biasa je. Insya-Allah nanti kalau ada pertandingan yang akan datang aku ajak kau. Hahaha lawak la ingat balik.

    BalasPadam

Catat Ulasan