Kritikan tentang drama (Korban Kasih)



Apabila sebut sahaja perkataan drama, saya pasti ramai orang yang suka menontonnya. Tidak kira apa jua jenis genre drama tersebut, ia pasti akan ditonton. Kadangkala, ada drama yang mendapat sambutan yang menggalakkan daripada para penonton dan ada juga sesetengah drama yang mendapat kritikan dan tentangan yang hebat daripada para penonton. Maksud drama menurut Dewan Bahasa dan Pustaka ialah karya yang dipersembahkan oleh pe­lakon sama ada di pentas, radio, atau televisyen.

Insya-Allah, pada entri kali ini saya ingin berkongsi pendapat mengenai kritikan tentang drama. Dan saya telah memilih satu drama Melayu iaitu drama bersiri yang bertajuk Korban Kasih. Drama ini diarahkan oleh Mohd Fazli Yahya dan disiarkan selama 30 episod. Apa yang menarik tentang drama ini ialah ia merupakan adaptasi dan diinspirasikan dari novel Korban Kasih 1 & 2 karya Fatimah Saidin terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Sebelum saya berkongsi mengenai kritikan terhadap drama ini, saya ingin bercerita secara ringkas tentang sinopsis drama ini. Drama ini berkisarkan tentang kisah kekeluargaan di mana kisah perselisihan dan pilih kasih yang berlaku dalam sebuah keluarga. Watak Jalil (lakonan Saharul Ridzwan) mendapat kasih sayang daripada semua keluarganya namun dia tidak mendapat kasih sayang daripada ibunya, Norizah (lakonan Dynas Mokhtar). Ibunya melayan Jalil seperti orang asing namun Jalil tetap berkorban demi kebahagiaan ibunya, kembarnya Jamil (lakonan Azrel Ismail), kak longnya Aziah (lakonan Ezzaty Abdullah) dan adiknya Fatimah (lakonan Zara Zya).

Berbalik kepada tujuan asal entri saya kali ini, kritikan saya mengenai drama ini ialah drama ini sangat bagus untuk ditonton oleh setiap lapisan masyarakat tanpa mengira umur. Kenapa saya katakan sedemikian? Hal ini kerana drama mengenai tema kekeluargaan sangat jarang dilihat kerana seperti yang kita semua ketahui drama-drama di kaca televisyen Malaysia hanya sering memaparkan drama bergenre cinta semata-mata tanpa ada memaparkan drama bergenre lain seperti penyiasatan, fiksyen, pengembaraan dan lain-lain lagi.  

Selain itu, pemilihan watak juga amat penting dalam menjayakan sesebuah drama. Pada mulanya saya agak kurang setuju watak remaja sekolah dilakonkan oleh orang dewasa. Namun, setelah saya mula menonton drama ini saya mula memahami sedikit demi sedikit kehendak pengarah drama ini. Saya berpendapat bahawa memilih orang dewasa untuk melakonkan watak remaja sekolah dalam drama Korban Kasih supaya watak tersebut dapat dihayati dengan baik dari awal sehingga akhir cerita.  

Di samping itu, melalui drama ini sedikit sebanyak dapat mempromosikan novel-novel terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Sepanjang drama ini ditayangkan, saya melihat sambutan daripada para penonton amat menggalakkan dan memberangsangkan. Ada sesetengah daripada mereka yang membeli novel Korban Kasih setelah menonton drama ini. Hal ini bukan sahaja dapat menarik minat mereka untuk menonton drama bahkan juga dapat menarik minat dan memupuk mereka agar rajin membaca.

Sekian sahaja daripada saya untuk entri kali ini. Saya memohon maaf sekiranya terdapat kesalahan dan kesilapan dalam penulisan ini. Ini adalah pandangan peribadi saya dan tidak ada kena mengena dengan mana-mana pihak.

Ulasan