Pengalaman kembara




Pengalaman kembara. Sejujurnya, sepanjang saya bernafas di muka bumi ini selama 21 tahun, pengalaman tersebut tidak pernah saya alami. Ya, agak sedih dan sedikit terkilan di situ. Namun, walaupun tidak pernah mempunyai pengalaman tersebut saya tetap ingin berkongsi pendapat mengenainya.

Melancong dan kembara. Bagi pendapat saya secara peribadi, dua perkara tersebut adalah berbeza. Secara lahiriah dua perkara tersebut kelihatan serupa tetapi dari segi pelaksanaan ia berbeza.

Jika disebut tentang melancong, apa yang saya fahami perkara tersebut bermaksud bersiar-siar. Tidak kira di mana-mana sahaja tempat pelancongan. Kebiasaan melancong ini seseorang itu pergi bersama keluarga, rakan-rakan atau pergi secara sendirian. Antara tujuan utama melancong adalah meluangkan masa bersama keluarga serta berseronok.

Manakala jika disebut tentang kembara, ia merupakan salah satu aktiviti yang berilmiah. Hal ini kerana kebiasaannya kembara dilakukan bertujuan untuk menimba ilmu dan mengambil pengajaran daripada tempat yang dilawati serta dilakukan kebanyakan orang secara berkumpulan atau sendirian.

Oleh itu, pesanan saya kepada semua pembaca blog ini agar pergilah mengembara ke serata dunia supaya dapat menambahkan pengetahuan serta pengalaman bak kata pepatah, jauh perjalanan, luas pemandangan. Di sini, saya kongsikan ayat daripada al-Quran yang menggalakan untuk mengembara. Firman Allah dalam surah al-Mulk ayat 15 yang bermaksud: Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu mudah digunakan, maka berjalanlah merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan kepada Allah jualah (kamu) dibangkitkan hidup semula.

Ulasan