Dalam menjalani kehidupan, kita pasti menemui pelbagai jenis ragam
manusia. Ada yang mempunyai perwatakan ceria, tegas, merendah diri dan
sebagainya. Melalui perwatakan, ia juga membawa seseorang itu untuk menjadikan
seseorang yang lain sebagai idola atau tokoh mereka. Pada entri blog kali ini,
saya ingin berkongsi serba sedikit maklumat tentang tokoh agamawan yang saya
sukai. Saya yakin semua orang pasti mengenali gambar susuk tubuh insan yang
tertera di atas ini bukan?
Ya, beliau ialah Yang Berhormat Senator Datuk Dr. Haji Zulkifli
Mohamad Al-Bakri. Beliau merupakan seorang ahli agamawan yang terkenal di
Malaysia. Beliau juga merupakan Mufti Wilayah Persekutuan ke-7. Jawatan terkini
yang disandang oleh beliau adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal
Agama). Selain itu, beliau turut dikenali sebagai pengasas kepada Pondok Moden
al-'Abaqirah, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.
Beliau dilahirkan pada 16 Januari 1969 di Kampung Gong Pauh,
Kemaman, Terengganu. Alam persekolahannya bermula di Sekolah Kebangsaan Rengas
Bekah, Kuala Terengganu (1976-1981). Kemudian, beliau menyambung pelajarannya
di Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin (SMASZA), Ladang, Kuala
Terengganu (1982-1984) sebelum meneruskan pengajiannya dalam peringkat Thanawi
di Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin (SMAASZA), Batu Buruk,
Kuala Terengganu (1985-1988).
Setelah itu, beliau meneruskan pengajian di peringkat universiti
dalam bidang Sarjana Muda Syariah di Universiti Islam Madinah (1989-1993).
Kemudian, menyambung beliau turut menyambung di peringkat Sarjana Syariah di
Universiti al-Ulum al-Islamiah wa al-Arabiah di Damsyik, Syria (1994-1997).
Manakala, pengajian peringkat Doktor Falsafah (Ph.D) pula diambil di Pusat
Pengajian Ilmu Kemanusiaan (School of Humanities), Universiti Sains Malaysia
(2002-2004).
Seterusnya, beliau menjadi rujukan agama di kalangan masyarakat
mengenai sesuatu hukum. Antara medium yang digunakan oleh beliau ialah seperti
aplikasi Facebook, Instagram, Twitter, Youtube dalam memberikan dan mengajarkan
ilmu pengetahuan kepada masyarakat. Beliau turut menjadikan gambar bertulisan
sebagai medium dalam mendidik masyarakat. Segala pertanyaan dan maklumat
lanjut, orang awam boleh menekan pautan ini, http://www.muftiwp.gov.my/. Pautan
merupakan laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Akhirulkalam, saya berharap agar Yang Berhormat Senator Datuk Dr.
Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri sentiasa dikurniakan kesihatan dan dipermudahkan
segala urusan beliau dalam segala hal. Saya juga berharap agar rakyat Malaysia
yang beragama Islam mencontohi keperibadian beliau yang tawaduk serta tenang.
Semoga ilmu yang disampaikan beliau kepada masyarakat dapat memberikan kefahaman
yang lebih tepat dan jelas.

Ulasan
Catat Ulasan