Hiburan merupakan
perkara yang tidak asing lagi dalam kehidupan manusia. Sejak zaman dahulu lagi
hiburan sudah ada namun bentuknya sedikit berubah mengikut peredaran zaman.
Pada zaman dahulu hiburan yang dinikmati masyarakat berbentuk penceritaan yang
disampaikan oleh penglipur lara. Kebiasaannya penglipur lara menyampaikan
cerita rakyat yang berunsur jenaka serta diselitkan dengan syair, seloka, dan
pantun.
Setelah zaman berganti
zaman, bentuk hiburan dilihat semakin meluas. Pada zaman serba moden ini,
terdapat pelbagai jenis hiburan yang boleh dinikmati masyarakat. Antaranya
ialah radio, televisyen, muzik, sukan, tarian, filem, silap mata, sarkas,
teater dan sebagainya. Hiburan yang paling mendapat sambutan di kalangan
masyarakat ialah hiburan berbentuk muzik. Hal ini kerana muzik mempunyai genre
yang pelbagai serta bunyi dan irama yang mengasyikkan.
K-Pop atau dikenali
sebagai Pop Korea merupakan sejenis aliran muzik yang berasal dari Korea
Selatan. Aliran muzik ini bukan sahaja terkenal di Korea Selatan, bahkan juga turut
terkenal di seluruh dunia. Hal ini kerana aliran muzik ini sangat menarik dari
segi lirik lagu dan video muziknya. Saya kongsikan sedikit kritikan saya
mengenai K-Pop yang begitu popular dari dahulu sehingga sekarang.
Setiap sesuatu yang
dicipta pasti ada baik dan buruknya. Begitu juga dengan fenomena K-Pop ini.
Tidak dinafikan melalui fenomena ini seseorang itu dapat mempelajari bahasa baharu
dan mengenali kenalan baharu yang mempunyai kecenderungan yang sama. Akan
tetapi, ia juga membawa imej negatif iaitu menjadikan seseorang itu taasub (fanatik
atau pelampau).
Kenapa saya katakan sedemikian?
Hal ini kerana saya dapati ramai yang begitu taasub meminati artis K-Pop ini
sehingga ingin meniru dan menjadi seperti artis kegemaran mereka. Selain itu,
mereka juga sanggup membazirkan wang demi membeli album yang mengandungi gambar
artis walaupun harganya mahal. Di samping itu, mereka juga sanggup melayari
internet berjam-jam tanpa henti demi melihat video artis kegemaran mereka.
Apa yang saya dapat
saya simpulkan di sini ialah kita perlu bersederhana dalam menyukai sesuatu
perkara. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 216 yang bermaksud: “Boleh
jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula)
kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang
kamu tidak mengetahui.”
Semoga kita semua
mengambil sudut positif sahaja dan menghindarkan diri daripada mendekati sudut negatif
dalam sesuatu perkara.

Ulasan
Catat Ulasan