Pengalaman di kolej




Sepanjang saya tinggal di kolej, banyak pengalaman yang tidak dapat saya lupakan. Sampai sekarang kenangan itu terpahat kukuh di kotak ingatan saya. Apabila teringat kenangan itu, saya pasti tergelak sendirian. Ada kenangan pahit, manis, suka, dan duka sepanjang saya tinggal di kolej. Melalui pengalaman tersebut, ia mengajar saya bahawa hidup ini tidak selalunya indah. Ada pasang surutnya sebagaimana ombak yang kadang kala menampar pesisir pantai.

Alkisah ini tentang pengalaman pahit saya ketika di kolej sewaktu semester satu. Pada waktu hujung minggu, kebiasaan jadual pelajar pasti dipenuhi dengan bermacam-macam aktiviti yang dianjurkan oleh pihak kolej. Saya juga turut tidak ketinggalan untuk menyertainya. Antara aktiviti yang dianjurkan pada ketika itu ialah aktiviti berbasikal dan menanam pokok. Sayangnya, saya tidak dapat menyertainya untuk mewakili kolej kerana penyertaan tersebut mempunyai had yang telah ditetapkan. Namun sewaktu saya bermuram durja, saya dikejutkan dengan khabar bahawa salah seorang peserta tidak dapat menyertai aktiviti tersebut. Alangkah gembiranya saya pada waktu itu. Tanpa melengahkan masa, saya segera mengisi kekosongan tersebut kerana saya tidak sabar ingin berbasikal bersama-sama tiga orang rakan saya yang lain.

Pada pagi yang penuh kedamaian itu, saya dan tiga rakan yang lain telah bersiap sedia untuk memulakan aktiviti berbasikal. Sebelum aktiviti tersebut dimulakan, kesemua peserta mengambil basikal masing-masing yang terletak di stor kolej. Aktiviti berbasikal tersebut telah dipantau oleh seorang fasilitator lelaki. Fasilitator tersebut menyuruh kami untuk memeriksa basikal masing-masing dengan teliti agar tidak ada sebarang kerosakan yang boleh menyebabkan kemalangan. Saya mula mengayuh perlahan-lahan basikal untuk memastikan agar ia berfungsi dengan baik. Kemudian, sebelum memulakan aktiviti berbasikal kami diberi taklimat penuh tentang aktiviti tersebut oleh fasilitator. Kami bergerak dari kolej sebelum berkumpul di tempat yang telah ditetapkan.

Dari kolej, kami perlu melalui jalan yang sedikit curam untuk menuju ke jalan besar. Ketika semua orang telah melepasi jalan tersebut, saya dan tiga rakan yang lain baru ingin mula mengayuh. Saya dengan perasaan tidak sabar terus mengayuh menuju ke jalan yang bentuknya sedikit berbukit itu. Sewaktu saya menuruni jalan tersebut, saya sedar ia semakin laju kerana jalan tersebut sangat curam. Lantas segera saya mengawal kelajuan tersebut dengan menekan brek pada bahagian kanan basikal. Namun, nasib tidak begitu baik buat diri saya kerana brek tersebut seolah-olah tidak berfungsi padahal ketika saya memeriksanya tadi ia elok sahaja berfungsi.

Saya sudah mula risau dengan keadaan tersebut. Saya cuba menekan brek berkali-kali namun hasil tetap sama. Tiga rakan saya di belakang sudah menjerit kerisauan memanggil nama saya. Tidak ketinggalan juga seorang wanita yang bekerja sebagai pengawal keselamatan turut menjerit menyuruh saya untuk memberhentikan basikal tersebut dengan segera. Saya juga turut menjerit sama mengatakan bahawa brek basikal yang saya tunggangi tidak berfungsi sama sekali. Saya memandang ke hadapan sekilas lalu. Saya dapat merasakan sekiranya saya tidak membelokkan basikal ke sebelah kiri pasti saya akan melanggar pondok pengawal keselamatan tersebut. Tanpa berfikir panjang, saya terus membelok ke bahagian kiri tanpa memikirkan kecederaan yang bakal saya hadapi nanti.

Sepanjang waktu itu saya hanya mampu berdoa. Sungguh saya sangat takut. Sewaktu saya telah membelok ke bahagian kiri, dengan kadar segera saya menyeretkan kaki ke tanah untuk memaksa basikal tersebut berhenti dengan segera. Alhamdulillah, akhirnya saya berjaya memberhentikan basikal tersebut. Saya menarik nafas kelegaan kerana saya tidak mengalami sebarang kecederaan langsung. Segera tiga rakan menghampiri ke arah saya. Tanpa membuang masa, salah seorang rakan saya melaporkan kejadian yang berlaku tadi kepada fasilitator kami. Fasilitator tersebut menyuruh saya supaya lebih berhati-hati selepas ini. Dan dia juga menyuruh saya supaya tidak perlu meneruskan aktiviti ini sekiranya saya tidak mampu namun saya tetap berdegil ingin meneruskan juga. Selepas itu, saya dan tiga rakan yang lain tadi meneruskan perjalanan menuju ke destinasi yang seterusnya sambil diawasi fasilitator tadi dari arah belakang.

Sepanjang perjalanan, mereka tidak putus-putus bertanyakan keadaan saya. Saya segera mengatakan bahawa saya baik-baik sahaja. Salah seorang rakan saya telah menukarkan basikalnya dengan basikal saya kerana dia agak bimbang sekiranya saya tidak mampu mengawal basikal seperti sebelum ini. Saya menggangguk tanda bersetuju dengan cadangan tersebut. Tiba di satu jalan, kelihatan jalan tersebut juga agak curam seperti jalan yang saya lalui sebentar tadi. Saya segara memberhentikan basikal kerana ragu-ragu untuk melaluinya. Tanpa berfikir panjang, saya turun dari basikal tersebut dan menuntunnya di sepanjang jalan yang berbukit. Saya sudah tidak peduli dengan mata-mata yang memandang saya dengan pandangan pelik. Saya cuma tidak mahu pisang berbuah dua kali. Ya, di saat ini saya dapat rasakan bahawa saya sudah mula fobia dengan jalan yang berbukit ketika menaiki basikal.

Cukup sekadar di sini sahaja saya noktahkan pengalaman pahit ini. Sebenarnya kisah ini ada sambungannya tetapi saya tiada niat untuk meneruskan. Pasti semua tertanya-tanya mengapa saya beria-ia untuk berkongsikan pengalaman pahit sedangkan pengalaman pahit tersebut perlu dikuburkan terus agar tidak perlu dikenang kembali. Saya memilih untuk berkongsikan pengalaman tersebut kerana bagi saya perkongsian pengalaman manis sudah terlalu menjadi suatu kebiasaan. Bagi saya semua kejadian yang berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya. Dan saya juga berharap agar ketakutan ketika menaiki basikal melalui jalan berbukit dapat saya atasi suatu hari nanti.  





Ulasan