Sawah padi rumah saya
Bercerita mengenai kampung, jujur saya katakan bahawa saya tidak
mempunyai kampung. Kenapa? Kerana saya membesar dan menetap di kampung sejak
dari kecil sehinggalah sekarang. Ibu dan ayah kedua-duanya juga membesar di persekitaran
kampung namun di kawasan kampung yang berbeza. Ayah tinggal di Kampung Sawah
Sempadan manakala ibu tinggal di Kampung Dato Manan dan kedua-dua kampung
tersebut jaraknya tidaklah terlalu jauh. Dan kami sekeluarga sekarang menetap
di kampung ayah iaitu Kampung Sawah Sempadan.
Sebelum saya menceritakan pengalaman di kampung, saya ingin berkongsi
sedikit maklumat tentang Kampung Sawah Sempadan. Kampung Sawah Sempadan
merupakan kawasan kampung yang terkenal dengan tanaman padi. Kampung ini
terletak di Tanjong Karang. Selain Tanjong Karang, terdapat juga tempat lain
yang turut terkenal dengan tanaman padi iaitu Sekinchan dan Sungai Besar. Uniknya
tentang kampung saya ini, kawasan tertentu dibahagikan mengikut blok. Blok
tersebut dinamakan mengikut abjad bermula daripada huruf A sehingga Z. Sebagai
contoh, kampung saya digelar sebagai Kampung Blok A Sawah Sempadan. Kebanyakan
penduduk di kampung saya berketurunan Melayu campur Jawa dan sedikit sahaja yang
berketurunan Melayu campur Banja serta Melayu campur Bugis. Keluarga saya pula berketurunan Melayu campur Jawa.
Sepanjang saya membesar di Kampung Sawah Sempadan, antara
pengalaman yang paling menarik bagi saya ialah ketika musim menuai padi. Pada
musim ini sawah padi yang sudah kekuningan warnanya akan dituai menggunakan
mesin penuai padi berwarna kuning. Ketika itu ramai penduduk kampung datang
menyaksikan proses penuaian padi tersebut. Orang kampung menggelarkannya
sebagai panen (bahasa Jawa) yang bermaksud musim menuai. Pada waktu
musim menuai ini juga banyak burung-burung bangau yang kelihatan berterbangan
di kawasan sawah padi.
Musim menuai
Selepas musim menuai sudah selesai, kebiasaannya sawah padi yang
telah dituai akan dibakar jeraminya. Namun ada juga segelintir pesawah yang
tidak membakar jerami. Setelah jerami padi tersebut dibakar, kawasan sawah
tersebut diratakan menggunakan mesin bajak. Pada ketika umur saya sekitar lapan
tahun, saya selalu bermain layang-layang di kawasan sawah yang telah diratakan
bersama adik-beradik. Ayah saya sangat rajin membuat layang-layang untuk kami
bermain menggunakan surat khabar dan lidi penyapu. Kebiasaannya kami bermain
pada waktu petang kerana keadaan angin pada ketika itu sangat sesuai untuk
menerbangkan layang-layang.
Keadaan sawah padi selepas dituai
Selain itu, antara pengalaman lain saya sepanjang membesar di
kampung ialah bermain bersama-sama sepupu saya. Sebelum menjelang hari raya,
sanak saudara saya akan pulang ke kampung sehari lebih awal untuk membantu
membuat persiapan hari raya. Kebiasaannya, kami melakukan aktiviti seperti
mengacau dodol, menganyam ketupat, memasang pelita dan sebagainya. Tidak
ketinggalan juga, kami turut berebut-rebut untuk bermain meriam, mercun, dan
bunga api di sekitar halaman rumah.
Melalui pengalaman ini, saya dapat mengimbau kembali kenangan
ketika zaman kanak-kanak. Sangat nostalgia. Walaupun zaman semakin maju namun kampung saya masih sama seperti dulu. Tidak pernah berubah. Udaranya masih segar untuk dihirup dan bebas daripada pencemaran udara. Pemandangan ketika sawah padi masih menghijau sangat menenangkan jiwa yang resah dan gelisah.



Ulasan
Catat Ulasan