Setiap manusia di dunia ini mempunyai kepercayaan masing-masing
yang tersendiri. Kepercayaan ini dipegang dan dijadikan sebagai pedoman hidup.
Kepercayaan merupakan agama yang dianuti. Seperti yang diketahui, fitrah
manusia adalah beragama. Agama berfungsi sebagai panduan hidup kepada manusia
dalam menjalani kehidupan seharian. Tanpa agama manusia akan hidup dalam
keadaan terumbang-ambing dan tanpa hala tuju.
Apa itu agama? Agama menurut Dewan Bahasa dan Pustaka ialah kepercayaan
kepada Tuhan dan sifat-sifat serta kekuasaan Tuhan dan penerimaan ajaran dan
perintah-Nya. Terdapat pelbagai jenis agama di seantero dunia. Antaranya ialah
agama Islam, Kristian, Buddha, Hindu, dan sebagainya. Agama-agama ini juga
merupakan agama yang terkenal kerana mempunyai bilangan penganutnya yang begitu
ramai.
Simbol-simbol agama
Agama Islam merupakan agama pertama terbesar di dunia kerana mempunyai
bilangan penganutnya yang ramai. Di Malaysia, agama Islam merupakan agama rasmi
bagi negara tersebut. Kebanyakan kaum Melayu menganuti agama Islam. Terdapat
juga kaum lain yang menganuti agama Islam seperti kaum Cina, India, dan
lain-lain lagi. Walaupun agama Islam dijadikan sebagai agama rasmi, namun agama
lain tetap boleh diamalkan oleh kaum lain yang mempunyai kepercayaan yang
tersendiri.
Dalam ajaran agama Islam, syarat untuk menjadi seorang yang
beragama Islam atau Muslim ialah seseorang itu perlu mengucapkan dua kalimah
syahadah. Kalimah syahadah ini juga dikenali sebagai kalimah tauhid. Mengucap
dua kalimah syahadah merupakan rukun yang pertama daripada lima rukun Islam. Sepertimana
hadis daripada Ibnu Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:
بُنِيَ الْإِسْلَامُ عَلَى خَمْسٍ
شَهَادَةِ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ
وَإِقَامِ الصَّلَاةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَالْحَجِّ وَصَوْمِ رَمَضَانَ
Maksudnya: “Islam terbina atas lima
perkara: penyaksian bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad itu utusan
Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, menunaikan haji dan berpuasa di
bulan Ramadan.”
Riwayat al-Bukhari (8)
Dua kalimah syahadah
Setelah melafazkan dua kalimah syahadah, seseorang itu perlu
mentaati segala perintah dan suruhan yang telah ditetapkan oleh Allah seperti
menunaikan solat lima waktu sehari semalam, berpuasa di bulan Ramadan, menunaikan
zakat serta mengerjakan fardu haji bagi yang berkemampuan. Selain itu, seorang
Muslim itu perlu menjauhi segala larangan-Nya seperti berjudi, minum arak,
berzina, dan membunuh kerana itu merupakan dosa-dosa besar. Terdapat juga
dosa-dosa kecil yang perlu dielakkan seperti menipu kerana dikhuatiri lama-kelamaan
akan menjadi dosa besar.
Sebelum mengakhiri coretan ini, dengan rasa rendah diri ingin saya memohon maaf sekiranya
terdapat kesalahan dan kesilapan dalam penulisan ini. Hal ini kerana saya
bukanlah seorang yang begitu mahir dalam bidang agama. Sekiranya seseorang ingin mengenali Islam pelajarilah agama Islam tersebut. Jangan dilihat kepada penganutnya kerana tidak semua penganut menzahirkan keindahan Islam. Segala kekurangan datangnya daripada saya dan segala kelebihan itu
datangnya daripada Allah. Semoga kita semua sentiasa berada di dalam rahmat
Allah. Amin.




Ulasan
Catat Ulasan