Seni dan budaya


Tulisan Jawi merupakan khazanah agung milik bangsa Melayu


Setiap bangsa di seluruh dunia mempunyai seni dan budaya masing-masing yang tersendiri. Seni dan budaya juga sudah sebati dalam diri mereka serta menjadi lumrah dalam kehidupan. Tetapi, adakah kita semua peka dan mengambil tahu tentang maksud seni dan budaya?

Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, perkataan seni mempunyai dua maksud. Pertama, seni bermaksud karya (sajak, lukisan, muzik, dan lain-lain) yang dicipta dengan bakat (kecekapan). Kedua, seni juga bermaksud kebolehan mencipta sesuatu (lukisan, ukiran, dan lain-lain) yang indah-indah. Manakala perkataan budaya pula bermaksud tamadun, peradaban atau kemajuan fikiran, akal budi (cara berfikir, berkelakuan) atau bersifat budaya, yang mengenai kebudayaan.

Pada entri kali ini saya ingin mencoretkan serba sedikit mengenai seni dan budaya yang terdapat pada bangsa Melayu khususnya. Terdapat pelbagai jenis seni di kalangan bangsa Melayu. Ini menunjukkan bahawa bangsa Melayu sangat kreatif dan halus dalam mencipta sesuatu. Warisan seni dan budaya ini telah diwarisi sejak zaman berzaman dan masih kekal sehingga ke hari ini.

Antara jenis seni dalam kehidupan bangsa Melayu ialah seni permainan tradisional. Permainan tradisional merupakan aktiviti yang dilakukan pada waktu lapang dan dijadikan sebagai hiburan pada zaman dahulu. Contoh permainan tradisional yang popular di kalangan bangsa Melayu ialah congkak, batu seremban, wau, dan gasing. Aktiviti permainan ini bukan sahaja dapat menghilangkan kebosanan malah ia juga dapat mengeratkan hubungan antara sesama pemain serta meningkatkan keupayaan untuk berfikir secara kritis.

Permainan wau bulan sangat terkenal di negeri Kelantan


Selain itu, seni kraftangan merupakan salah satu daripada seni yang terdapat pada bangsa Melayu. Seni kraftangan ini menunjukkan kemahiran dalam mencipta, mencorak, mengukir dan membentuk pada bahan tertentu. Kewujudan seni kraftangan ini membuktikan bahawa bangsa Melayu pada zaman dahulu sangat kreatif dan bijak dalam mecipta sesuatu. Bangsa Melayu sangat mahir dalam mencanting batik, membentuk labu sayong, mengukir corak pada binaan atau kayu, menenun songket, serta menganyam daun mengkuang menjadi tikar, bakul dan tudung saji.



Di samping itu, alat muzik dan tarian juga merupakan salah satu daripada seni yang terdapat dalam budaya Melayu. Alat muzik ini kebiasaannya digunakan pada majlis tertentu seperti majlis kenduri kahwin dan majlis kesyukuran. Begitu juga dengan tarian yang hanya dilakukan dalam upacara tertentu sahaja. Antara contoh alat muzik yang sering digunakan ialah gambus, rebana, dan kompang manakala tarian yang kerap di dimainkan ialah tarian zapin, tarian joget, dan tarian kuda kepang.

Gambus

Tarian kuda kepang


Akhirulkalam, saya berharap warisan seni dan budaya ini dipelihara kerana ia merupakan khazanah sesuatu bangsa. Warisan ini juga perlu dipelajari dan dijaga agar tidak luput ditelan zaman serta dapat dinikmati oleh generasi akan datang. Bersama-samalah kita berganding bahu dalam memelihara kesenian dan kebudayaan ini agar ia tidak pupus sebegitu sahaja. Saya sudahi entri kali ini dengan serangkap pantun.

Pantun gurindam pusaka bangsa,
Wajib diwarisi setiap generasi;
Seloka dan madah hiasan kata,
Tanda beradab pelengkap diri.










Ulasan