Buku kreatif merupakan sebuah buku yang menghimpunkan pelbagai
jenis penulisan kreatif. Apa itu penulisan kreatif? Penulisan kreatif ialah
proses penciptaan karya sastera. Contoh penulisan kreatif seperti novel,
cerpen, drama, dan puisi.
Berbalik kepada tajuk blog saya pada kali ini, saya yakin semua
orang pasti pernah membaca buku kreatif walaupun hanya sebuah buku sahaja. Di
sini saya ingin berkongsi tentang pengalaman membaca buku kreatif. Antara buku
kreatif yang pernah saya baca bertajuk “Mimpi Di Patagonia”. Buku ini dikarang
oleh Lim Swee Tin dan beliau merupakan salah seorang pensyarah di Universiti
Putra Malaysia. Dan buku ini juga merupakan buku kreatif pertama yang saya baca
bagi tahun 2020. Menariknya tentang buku ini ia menghimpunkan pelbagai jenis
kumpulan puisi. Puisi tersebut sangat mudah untuk difahami dan dihayati oleh
pembaca kerana bahasanya diambil daripada pertuturan ramai sehari-hari.
Selain itu, saya juga ingin berkongsi tentang buku-buku kreatif
yang pernah dibaca sewaktu belajar di sekolah menengah. Antaranya ialah “Kasut
Kelopak Jantung”, “Wira Persona Avatari”, “Merenang Gelora”, “Leftenan Adnan Wira Bangsa”,
dan “Tirani”. Buku-buku ini sangat memberi kesan dalam hidup saya kerana ia
banyak memaparkan nilai murni dan pengajaran. Di antara kelima-lima buah buku
ini, terdapat dua buah buku yang berjaya menumpahkan tembok air mata saya iaitu
buku “Kasut Kelopak Jantung” dan “Leftenan Adnan”. Hal ini kerana, watak-watak
yang terdapat dalam buku tersebut seolah-olah sangat dekat dengan hidup saya.
Melalui buku “Kasut Kelopak Jantung” saya dapati bahawa kita perlu bersyukur dengan apa yang kita
miliki kerana tidak semua orang bernasib baik. Manakala buku “Leftenan Adnan Wira Bangsa”
pula mengajar saya bahawa kita perlu menghayati dan mengingati jasa dan
pengorbanan askar-askar dahulu yang sanggup menggadaikan nyawa mereka demi
mempertahankan agama, bangsa, dan negara daripada pengkhianat.
Di samping itu, saya
juga turut membeli dua buah buku kreatif karya sasterawan negara iaitu “Sudara”
yang dikarang oleh SN Arena Wati dan “Daun-Daun Berguguran” yang dikarang oleh
SN A. Samad Said serta isterinya Salmi Manja. Saya membeli buku karya
sasterawan negara secara dalam talian kerana di kedai buku ia amat sukar untuk
didapati.
Akhirulkalam, saya berharap
agar semua rakyat Malaysia senantiasa cintakan buku kerana bangsa yang berjaya
adalah bangsa yang rajin membaca. Membaca itu juga merupakan kunci untuk meraih
ilmu. Di sini saya sertakan kata-kata daripada Buya Hamka tentang buku iaitu
“Membaca buku-buku yang baik bererti memberi makanan rohani yang baik”. Sekian
sahaja daripada saya. Jumpa lagi di entri yang akan datang.



Ulasan
Catat Ulasan