Makanan tradisional



Di bumi yang berbentuk sfera ini, hidupnya makhluk yang dikurniakan akal bernama manusia. Uniknya, manusia ini dicipta dengan bahasa dan bangsa yang berbeza. Sebagai contoh negara Malaysia terkenal dengan rakyatnya yang berbilang kaum seperti Melayu, Cina, India, Kadazan-Dusun, Dayak, dan sebagainya. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah dan kurnia-Nya rakyat Malaysia masih dapat hidup dengan aman dan tenteram walaupun berbilang kaum.

Seperti yang diketahui, setiap kaum mempunyai budaya yang berbeza dari segi pakaian, adat, dan makanan. Oleh itu, pada entri kali ini saya ingin berkongsi tentang makanan tradisional beberapa kaum di Malaysia.

Apa itu makanan tradisional? Makanan tradisional ialah makanan dengan citarasa tertentu yang boleh diterima oleh masyarakat tersebut. Makanan tradisional yang paling popular di kalangan tiga etnik besar di Malaysia seperti masyarakat Melayu ialah nasi lemak, masyarakat Cina ialah nasi ayam, dan masyarakat India ialah capati. Pada asalnya makanan tradisional tersebut khusus untuk sesuatu kaum sahaja tetapi setelah mereka hidup bersama sejak dari dahulu lagi, lama-kelamaan makanan tersebut sudah menjadi menu harian mereka. Contohnya, nasi lemak menjadi menu pilihan rakyat berbilang kaum di Malaysia sebagai hidangan sarapan pagi mereka.

Namun, ramai di kalangan generasi muda pada masa kini kurang mengambil tahu tentang makanan tradisional yang terdapat di Sabah dan Sarawak. Oleh itu, saya ingin ceritakan serba sedikit makanan tradisional yang jarang didengari dan popular di sana. Antaranya ialah:

1)  Hinava: Hinava atau Hinava Ginapan merupakan salah satu makanan tradisional yang istimewa dan popular bagi suku kaum Kadazan-Dusun di Sabah. Makanan ini diperbuat daripada isi ikan segar yang dicampurkan dengan biji buah bambangan yang telah diparut bersama cili merah, halia, bawang merah, limau kapas, dan garam. Kebiasaannya, Hinava ini dihidangkan semasa Tadau Kaamatan. 


       2) Umai: Umai pula ialah makanan tradisional yang berasal dari kaum Melanau di Sarawak. Kebanyakan penduduk Sarawak yang berbagai kaum menggemari hidangan ini. Umai diperbuat daripada ikan mentah yang sudah dibersihkan kemudian diambil isinya dan dipotong kecil. Seterusnya, isi ikan tersebut diperap bersama limau, bawang merah, dan cili serta dicampur dengan bahan perasa lain. Terdapat dua jenis umai iaitu umai ikan dan umai udang. Umai lebih sedap dimakan setelah disimpan di dalam peti sejuk.


Sekian sahaja cerita saya pada kali ini. Saya berharap agar generasi muda di Malaysia pada zaman kini tidak melupakan makanan tradisional yang merupakan warisan nenek moyang kita. Hal ini kerana, makanan tradisional menunjukkan keistimewaan sesuatu kaum yang perlu dipelihara agar tidak luput ditelan zaman.

Ulasan