Pengalaman memasuki kuliah BBK3410



Dalam kehidupan ini,sebenarnya semua orang kreatif dan ada bakat. (Kamariah Kamarudin, 2020)



Pada coretan kali ini, ingin saya kongsikan sedikit ceritera tentang pengalaman memasuki kuliah BBK3410 iaitu subjek Penglahiran Bakat Kreatif. Pada tanggal 12 Februari 2020 setiap hari Rabu, jam 9 pagi sehingga 12 tengah hari telah bermulanya waktu yang ditetapkan untuk saya mempelajari subjek ini.

Nama diberi Kamariah binti Kamarudin. Beliau merupakan pensyarah saya bagi subjek Penglahiran Bakat Kreatif. Pada hakikatnya, saya agak takut untuk memasuki kuliah BBK3410 ini. Namun, setelah memasuki kuliah ini, rasa takut itu telah bertukar menjadi seronok dan teruja. Setelah satu jam kuliah bersama Prof. Madya Dr. Kamariah, saya dapati beliau seorang yang sangat peramah, ceria, dan tegas.

Sepanjang sesi pembelajaran, Prof. Madya Dr. Kamariah telah berkongsi serba sedikit tentang pengalaman beliau dalam bidang penulisan. Setelah mendengar kisah tersebut, tidak dinafikan pengalaman beliau telah meniupkan api semangat kepada saya untuk menceburi bidang penulisan ini pada masa akan datang. Antara kata-kata beliau yang menarik perhatian saya sewaktu sesi pembelajaran di kuliah adalah “apa yang anda baca itulah yang mencerminkan apa yang anda tulis”. Selain itu, beliau turut memberikan nasihat kepada para pelajarnya tentang kepentingan disiplin, masa, dan sikap prihatin dengan keadaan sekeliling. Beliau juga turut menitipkan pesanan agar setiap karya yang dihasilkan perlulah asli dan bukan ditiru, diciplak, atau diplagiat dari mana-mana sumber.

Sebelum saya melanjutkan pelajaran di universiti, sebenarnya saya sudah mula berjinak-jinak dengan bidang penulisan blog serta mengarang sajak. Tetapi malangnya, semangat tersebut telah lenyap dan terkubur begitu sahaja. Alhamdulillah, setelah memasuki kuliah BBK3410, saya telah menemui semangat itu kembali. Saya kongsikan lagi kata-kata daripada beliau yang sedikit sebanyak membangkitkan semangat saya iaitu "bakat boleh digilap dengan ciri-ciri kekreatifan".

Akhirulkalam, saya berharap agar semua pelajar yang mengambil subjek Penglahiran Bakat Kreatif ini dapat menggunakan peluang yang ada dengan sebaik mungkin. Hal ini kerana, tidak mustahil bakat yang terpendam dapat dicungkil, diasah, dan digilap. 


Ulasan