Setiap hari yang berlalu pergi,
Perginya tidak pernah disedari,
Dan waktunya tidak akan pernah kembali.
Setiap berita yang didengari,
Walaupun sudah dipadam dan menyepi,
Namun masih tersimpan rapi dalam memori.
Jika disebut tentang isu semasa, perkara
ini sudah menjadi norma dalam sesuatu berita. Ya, berita tanpa isu semasa
ibarat nasi lemak tanpa sambal. Kurang enak. Kurang perisa.
Pada era globalisasi ini, setiap berita
pasti memaparkan isu semasa yang berkaitan dengan politik, ekonomi, sosial dan
seumpama dengannya. Tidak terlepas juga isu semasa yang penuh dengan sensasi
dan kontroversi terutamanya di kalangan selebriti.
Kewujudan berita dapat membantu setiap
orang untuk mengetahui tentang isu semasa yang paling terbaru. Sebagai contoh, dunia pada hari ini
dikejutkan dengan kemunculan penyakit baru yang dinamakan dengan Novel
Coronavirus (2019-nCoV). Ya, isu semasa ini sedang hangat diperkatakan
hingga menjadi polemik dalam masyarakat di seluruh dunia. Di sini saya kongsikan sedikit maklumat tentang Novel Coronavirus.
Apa itu Novel Coronavirus? Menurut
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kemunculan wabak Novel Coronavirus
bermula di Wuhan, China. Coronavirus adalah salah satu daripada keluarga
virus yang lazimnya menjangkiti saluran pernafasan. Novel Coronavirus pula
merujuk kepada spesies baru virus dalam keluarga Coronavirus yang belum
pernah ditemui manusia sebelum ini.Virus ini juga boleh merebak sesama haiwan
dan manusia.
Namun, jika diperhatikan tidak semua isu
semasa yang disebarkan dan disampaikan itu adalah benar kerana terdapat juga yang
palsu. Oleh itu, saya menyeru semua orang agar bacalah berita yang diterima
dari permulaan ayat sehingga ke penghujung ayat. Hal ini kerana, saya dapati
kebanyakan masyarakat suka menyebarkan sesuatu berita atau maklumat tanpa
membacanya terlebih dahulu. Baca dan selidik dahulu berita yang diterima agar
penyebaran berita palsu dapat disekat dan dihentikan.



Ulasan
Catat Ulasan